Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Cadangan Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengklasifikasi Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) kecuali kawasan punca air sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) boleh mengundang risiko.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya tidak setuju dengan cadangan tersebut.

Tegasnya, semua rancangan struktur Pihak Berkuasa Negeri hendaklah selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020.

Menurutnya, proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan melibatkan KSAS yang tidak menepati RFN bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan.

Nik Nazmi berkata, kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Kelantan.

“NRECC sentiasa komited dalam memastikan sumber hutan dan kepelbagaian biologi kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Kementerian berpandangan bahawa kawasan sensitif alam sekitar ini sedia ada di Negeri Kelantan hendaklah terus dikekalkan dalam Rancangan Pemajuan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas) bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi serta kemampanan alam sekitar HSK di Negeri Kelantan dapat dipelihara,” katanya.

Menurut beliau, keputusan Kerajaan Kelantan akan menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi RFN.

Cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang turut menimbulkan kebimbangan kerana akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan selain menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di negeri itu.

Kawasan itu merupakan habitat Harimau Malaya, gajah, seladang dan tapir yang akan terjejas selain mengganggu pergerakan hawain terbabit ke Perak, Pahang dan Terengganu.

Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta benda selain kehilangan nyawa.

Aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai yang menyumbang kepada kekeruhan air dan turut menyebabkan kejadian banir.

Penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS akant menyumbang kepada bencana alam.

“Selama lebih dari satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu
banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal. Hutan berperanan sebagai “span semulajadi” dalam menyerap air hujan.

“Oleh itu, pokok memainkan peranan penting dalam menghalang aliran sedimen dan mengekalkan air, menjadikannya komponen penting dalam memelihara persekitaran yang stabil,” katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan pada 21 Oktober lalu telah memutuskan supaya HSK kecuali kawasan punca air atau tadahan air tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan ini masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula pada 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast