Pemandu lori membawa muatan roti tercedera selepas melanggar traktor membaiki jalan raya dalam kejadian di Pandan Indah awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas sebuah lori roti dipandunya melanggar sebuah traktor membaiki jalan di Pandan Indah dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitarĀ  5.17 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan roti dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah traktor yang sedang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ekoran perlanggaran itu, pemandu lori berkenaan telah tersepit di bahagian kaki tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang didapati mengalami kecederaan ringan dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa warga tempatan berusia 29 tahun itu kemudian telah diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya.-MalaysiaGazette