Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

DENGKIL – Pihak sekolah digesa mengawal sebarang alatan yang dibawa pelajar termasuk ketika Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak mahu masalah seperti membawa senjata mainan itu timbul lagi.

“Itu kita kena kawal. Tadi kita bincang dengan Jemaah Menteri, pertama kita tidak galakkan dan paksa semua sekolah (buat Minggu Solidariti Palestin).

“Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjamu selera dan menyantuni rakyat di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong di sini hari ini.

Anwar ditanya mengenai tindakan sejumlah NGO membantah arahan agar sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini dan menggesa kerajaan agar institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.

Beberapa wakil rakyat juga menyuarakan bantahan serupa, antaranya dengan berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran.

Terdahulu, NGO Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam penularan gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan yang didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Menyifatkannya sebagai “mengejutkan dan menakutkan”, Presiden GHRF, S. Shashi Kumar menggesa kerajaan agar menghentikan segera program berkenaan.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan skarf dan kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin. – MalaysiaGazette