KUALA LUMPUR – Parlimen Malaysia dan Singapura sepakat menjalin kerjasama erat sebagai rakan ASEAN serta membangun belia untuk menggalakkan usaha penggubalan dasar-dasar ke arah mencapai matlamat komuniti peringkat kebangsaan dan serantau.

Perkara tersebut antara yang dibincangkan oleh Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersama Speaker Parlimen Singapura, Seah Kian Peng.

Parlimen menerusi kenyataan berkata, pertemuan antara ketua legislatif dua negara tersebut telah dijalankan dalam kerangka lawatan rasmi Johari selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam inisiatif memacu kolaborasi antara parlimen ASEAN.

“Dalam kunjungan hormat itu, mereka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama termasuk isu keterjaminan makanan, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu,” demikian menurut kenyataan hari ini.

Selain itu, kata kenyataan berkenaan, Johari dan Seah di Parlimen Singapura turut membincangkan jalinan hubungan kekeluargaan yang mendalam antara Singapura dan Malaysia.

“Johari menzahirkan keyakinan beliau bahawa dialog bersama Parlimen Malaysia amat penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memperdalam kerjasama pelbagai peringkat dalam bidang kesihatan, pendidikan, budaya dan daya tahan rantaian bekalan,” tambahnya.- MalaysiaGazette