KUALA LUMPUR – Israel melakukan pembunuhan besar-besaran di Gaza malam tadi sejurus selepas rejim zionis itu menyekat talian telefon dan internet.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, talian telefonnya terputus ketika sedang berbual dengan keluarganya di sana.
“Gaza tengah total comms blackout (sekatan perhubungan secara total). Katanya tengah ada pembunuhan besar-besaran sedang berlaku di sana.
“Saya hubungi keluarga pun tiba-tiba terputus tadi. Kerja gila apa yang penjajah tengah lakukan di sana!” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Media antarabangsa melaporkan regim zionis telah menyekat talian telefon dan internet sebelum melakukan serangan terhadap Gaza malam tadi yang disifatkan sebagai terbesar sejak 7 Oktober lalu.
Beberapa kumpulan bantuan antarabangsa termasuk agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, mereka tidak dapat menghubungi pasukan masing-masing di Gaza.
Bunyi bom meletup dan cahaya terang akibat ledakan bom dan bangunan yang terbakar menerangi Gaza sepanjang malam tadi.
“Pertempuran sengit sedang berlaku di antara mujahidin dan tentera penjajah di sebelah utara Gaza saat ini,” kata Nadir mengesahkan laporan tersebut.
Dalam pada itu Nadir merayu orang ramai untuk terus memberikan sumbangan kepada Cinta Gaza Malaysia bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza.
Katanya hanya itu yang mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia ketika ini dalam mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang kini berhadapan penghapusan etnik oleh regim Israel.
“Apa yang kita boleh buat sekarang ialah push push dan push sumbangan. Setiap darah yang tumpah akan kita tebusi.
“Setiap anak yatim akan jadi anak kita. Setiap keluarga syuhada’ akan dapat pampasan. Itu saja yang boleh kita lakukan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun rasmi Persatuan Cinta Malaysia di Maybank dengan nombor akaun 5648 1050 7826.-MalaysiaGazette