Bahagian Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya dan AADK menjalankan operasi di susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kampung Pandan, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 saman dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi yang dijalankan di susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kampung Pandan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi yang turut dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu turut menemukan lima individu yang didapati positif dadah.

Katanya, tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine manakala, dua lagi positif ganja.

“Tiada lesen merupakan kesalahan yang banyak dikeluarkan saman iaitu sebanyak 26 saman, tidak memakai tali pinggang keledar sebanyak (12) saman, sembilan saman bagi kesalahan nombot plat , enam saman bagi kesalahan lesen kenderaan (LKM) tamat tempoh, empat saman bagi kesalahan tidak memakai topi keledar dan satu saman bagi setiap kesalahan cermin sisi, lampu merah dan kesalahan lesen L/P,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut, Mohd Azam objektif operasi itu adalah untuk mengambil tindakan ke atas pengguna kenderaan yang melanggar undang-undang jalanraya dan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Tambah beliau, sebanyak 10 kenderaan turut disita dimana lapan kenderaan merupakan motosikal manakala, dua lagi kereta yang kini diletakkan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna jalanraya agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas demi keselamatan diri sendir, ahli keluarga dan pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette