Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah bercakap kepada MalaysiaGazette di pejabat khidmat DUN Kuang, Rawang, hari ini.

RAWANG – Perikatan Nasional (PN) mencabar Datuk Seri Amiruddin Shari membawa cadangan projek pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) ke Dewan Negeri Gombak Setia atau pun sekitar kediaman Menteri Besar itu sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata, jika insinerator sisa buangan kepada tenaga itu selamat dan tidak mengancam keselamatan, Menteri Besar sepatutnya membinanya di tempat sendiri.

“Kalau Menteri Besar Selangor rasa pembinaan insinerator itu bagus, selamat, tiada masalah, tiada pencemaran dan sebagainya, bolehlah bawa dan buat di Gombak Setia, di sebelah rumah Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

“Mungkin boleh bina di Petaling Jaya, di Subang Jaya, jadi tidak perlu dibawa ke Kuang, Tasik Puteri, kita boleh buat di tengah-tengah bandar Taman Jaya, Petaling Jaya.

“Saya mohon dibawa keluar cadangan itu ke tempat Menteri Besar atau Exco-Exco yang memberikan cadangan ini buat di tempat dia daripada bawa ke tempat orang.

“Kita di peringkat ADUN pembangkang, kita membantah cadangan pembinaan insinerator ini dan kita harap kerajaan mendengar bantahan kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di pejabat khidmat DUN Kuang di sini hari ini.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong bersama penduduk Rawang selepas Fun Run Bantah Insinerator Batu Arang di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.

Terdahulu, Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) menganjurkan larian bantah loji pembakaran sisa pepejal itu melibatkan lebih 600 penduduk Bandar Tasik Puteri, Kundang, Batu Arang, Kota Puteri dan Country Home, di Puteri Central Park, di sini.

Mohd Rafiq yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menggesa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan kontraktor projek terbabit membawa wakil persatuan penduduk ke loji insinerator.

“Di mana yang dikatakan teknologi ini tidak berbahaya, selamat, bawa pengerusi persatuan penduduk pergi tengoklah.

“Mungkin boleh dengar sendiri maklum balas daripada penduduk yang berdekatan insinerator WTE sebelum kita buat keputusan (bina),” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan jika Menteri Besar masih enggan menemui penduduk dan berdialog, PN tidak teragak-agak untuk menganjurkan himpunan aman di hadapan ibu pejabat Kerajaan Negeri Selangor.

“Setakat ini, kita buat piket dekat Tasik Puteri, Batu Arang, gelanggang takraw. Jangan sampai satu hari kita terpaksa piket depan SUK Selangor.

“Jangan sampai satu hari kita berarak, tutup jalan di depan SUK, baru dia nak jumpa. Kalau sampai ke tahap itu, ia menunjukkan betapa buruknya pentadbiran kerajaan negeri yang ada hari ini,” katanya.

Menurutnya Menteri Besar tidak boleh menyalahkan sesiapa jika rakyat turun ke jalanan dan berarak ke pintu Istana Selangor.

“Jangan sampai rakyat marah besok berarak ke istana. Adakah Menteri Besar hanya nak jumpa dan dengar pandangan kita bila orang mula berarak ke Istana Selangor?” soalnya. – MalaysiaGazette