Gambar hiasan

SELEPAS terhimpit dengan pelbagai dilema dan kontroversi sebelum ini  berhubung penyalahgunaan dana  dan dakwaan  pengurusan, imej Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini semakin segar, menyerlah melalui  proses reformasi dan  transformasi  yang dikendalikan oleh  Pasukan Petugas Khasnya di bawah kepimpinan Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh memikul tanggungjawab yang cukup mencabar umpama ‘berjalan dalam api’.

Pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  April lepas tidak boleh dianggap  sebagai “pengiktirafan politik” untuk dirinya. 

Beliau memikul tugas dan amanah yang paling ‘merumitkan ‘ dan perlu berdepan dengan pelbagai ancaman dan serangan ‘politik’ termasuk kecaman dari masyarakat umum setelah imej dan kredibiliti teah, rosak tercalar semakin lama.

Bukan senang untuk ‘membersihkan MITRA’ dalam sekelip mata. 

Beliau dan pasukanya perlu mengharungi pelbagai halangan dan rintangan untuk membina ‘kehidupan baru ‘ untuk unit itu demi menjamin ‘nambekei’ (harapan) harapan masyarakat India di negara ini.

Sudah banyak sangat cerita-cerita negatif berterbangan berkaitan dengan MITRA sejak beberapa tahun lepas.  Banyak juga cerita berkaitan ‘tangan- tangan ghaib’ yang cuba mendominasi dan menguasai agensi tersebut atas nama ‘ kepentingan politik’ sebelum ini.

Pemimpin datang dan pergi tetapi MITRA ‘tertinggal’ begitu sahaja selepas ‘dipergunakan’ . Itulah nasibnya.

Ramanan yang menjadi tumpuan negara  sebagai giant killer GE 15 selepas menyingkirkan Bekas Menteri Kesihatan dan Khairy Jamaluddin di Pilihan Raya Umum ke 15 lepas telah diberikan kepercayaan untuk menyusun, mereformasikan dan mentransformasikan semula MITRA. 

Beliau sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas tidak menerima sebarang gaji ataupun imbuhan lain. Beliau bersama empat Ahli Parlimen lain yang dilantik oleh Perdana Menteri menjalankan tugas itu demi negara dan masyarakat India khasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R. Ramanan.

MITRA diperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan negara sejak tahun 2017   untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Peruntukan itu diilhamkan oleh ketika era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

MITRA sebelum ini dikenali sebagai SEDIC  sebelum dijenamakan semula pada tahun 2018. Tidak dapat dinafikan jasa, komitmen Najib  untuk proses pembangunan dan pemerkasaaan masyarakat India di negara ini.

MITRA juga sering berdepan dengan dakwaan gagal menguruskan RM100 juta setiap tahun di mana wujud situasi sejumlah dana ‘dipulangkan’ semula kepada Kementerian Kewangan.

Untuk tahun ini, unit itu telah ‘memanfaatkan’ sepenuhnya dana yang diperuntukkan untuk perlbagai inisiatif dan program untuk masyarakat India. 

Ini merupakan satu pencapaian yang terbaik untuk MITRA tahun ini berbanding 2016 – 35 %, 2017 – 57 %, 2018 – 1 % , 2019 – 58 %,   2020 – 63 % , 2021 – 73 % dan 63 % tahun lepas.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke 12 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan  kerajaan akan  memperkasakan dan memperkukuhkan lagi  Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) adalah bukti keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri untuk   memantapkan lagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Oleh itu, tambahan peruntukan diberikan dengan niat khusus untuk membantu menangani keperluan masyarakat India di kawasan-kawasan ini secara lebih efektif.

Ini adalah contoh nyata bagaimana kerajaan berusaha untuk memastikan bahawa sokongan dan bantuan yang diberikan sentiasa berada di tempat yang paling memerlukan dalam masyarakat.

Program pembangunan sosioekonomi bersasar merupakan satu langkah yang sangat berkesan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat India. Program Pembasmian Miskin Tegar akan dilaksanakan secara berfasa untuk Ahli Isi Rumah (AIR) masyarakat India miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Langkah ini adalah contoh yang sangat prihatin kepada kebajikan rakyat dan  inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh negara dalam masa terdekat memberikan manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Seramai 1,800 ahli isi rumah telah dikenal pasti melalui sistem e-kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di mana pendapatan per kapita mereka adalah kurang dari RM339.

Pendapatan per kapita tersebut perlu ditingkatkan untuk membantu ahli isi rumah tersebut keluar dari kategori miskin tegar.

Bagi program tersebut sebanyak RM8.24 juta diperuntukkan. Program tersebut juga adalah selaras dengan arahan  Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.

Bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan buah pinggang, Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA adalah inisiatif yang amat penting.

Program ini memberikan bantuan kewangan yang besar kepada pesakit buah pinggang berbangsa India, dengan menyediakan sumbangan sebanyak RM9,600 setiap tahun untuk kos rawatan.

Sehingga kini, program ini telah berjaya membantu 164 pusat dialisis dan 896 pesakit dengan jumlah bayaran sebanyak RM6.91 juta.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih komprehensif untuk membantu golongan B40 dalam masyarakat India, program permohonan geran kewangan kepada organisasi yang memenuhi syarat dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Sebanyak 183 organisasi atau badan bukan kerajaan berasaskan pendidikan,  sukan, kebajikan, ekonomi dan latihan kerjaya menerima geran berjumlah RM27.19 juta sehingga kini.

Segala program dan inisiatif ini adalah bukti komitmen yang kukuh terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti India di negara ini. Inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat India mencapai kesejahteraan yang lebih baik.

Ini adalah langkah proaktif dalam memastikan bahawa sokongan dan bantuan yang diberikan benar-benar menyentuh individu dan kumpulan yang memerlukan.

‘”Matlamat saya adalah agar masyarakat India, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan terkesan dengan kemiskinan bandar, dapat ditingkatkan kepada taraf yang seiring dengan kemajuan negara kita. Harapan saya supaya tidak ada sesiapa dikesampingkan daripada manfaat pembangunan negara,” kata Ramanan ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2024  mengenai peranan dan komitmen MITRA di Dewab  Rakyat  secara terperinci minggu lepas.

Sudah pasti, segala usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan segala program yang dirancangkan. Tanggungjawab bersama untuk meraih kemenangan. Sudah – sudahlah menuding jari antara satu sama lain.

Sekiranya ada  sebarang kritikan, teguran ataupun amaran , berilah secara rasional dan konstruktif.  Gunakanlah  peranan sosial media untuk menyebarkan fakta-fakta yang sahih.  Jangan kerana ‘nila setitik rosak susu sebelangga’.

Ingatlah, serangan di sosial media, putar pelit fakta tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada komuniti India. Hentikan fitnah!

Pasukan Petugas Khas juga telah menempatkan wakil daripada SPRM , Jabatan Integriti serta agensi berkaitan yang lain  untuk memantau segala proses dalaman dan luaran MITRA. 

Ramanan  juga telah mengumumkan pembentukan  satu jawatankuasa khas  yang akan dipengerusikan beliau sendiri akan terlibat secara aktif dan proses pemantauan.  Sudah pasti proses perlaksanaan akan menjadi tumpuan selepas ini.

Sudah tiba masanya MITRA mara ke depan dengan lebih yakin lagi demi kesejahteraan, kemakmuran dan kegemilangan masa depan masyarakat India di negara ini.  Jangan jadikannya untuk agenda politik .

* Datuk Anbumani Balan ialah penganalisis politik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast