GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meluahkan rasa bimbang harga jualan ayam akan melambung tinggi susulan pengumuman Kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bahan mentah itu bermula 1 November ini.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, penamatan itu akan memberi impak besar serta membebankan pengguna susulan harga ayam yang akan ditawarkan peniaga berbeza-beza memandangkan tiada pemantauan daripada kerajaan.
Jelas beliau, pemansuhan itu turut akan memberi kesan kepada peniaga gerai makanan yang perlu menaikan harga makanan susulan bahan mentah diperoleh pada kadar berganda berbanding kini.
“Episod penamatan subsidi dan harga kawalan itu bukan tamat antara peniaga dan pengguna malah ia membabitkan satu rantaian besar bermula dari penternak hingga ke pengguna.
“Apabila harga ayam tidak dikawal semestinya peniaga akan mengambil kesempatan dengan mengaut keutungan memandangkan semua sedia maklum ia merupakan makanan protein yang digemari majoriti rakyat Malaysia.
“Bukan saja itu, kita menganggarkan sekurang-kurangnya 20 jenis makanan akan naik harga disebabkan penamatan ini antaranya sate, sup ayam, ayam goreng di kantin sekolah serta makanan berasaskan ayam di restoran makanan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Subbarow, pengguna juga mungkin perlu pergi ke pasar raya atau kedai runcit lebih jauh dari rumah mereka untuk mendapatkan harga yang lebih rendah.
“Kemungkinan besar kedai runcit berhampiran rumah pengguna akan menjual harga lebih mahal atas alasan mereka terpaksa beli untuk keperluan harian.
“Sehubungan itu, CAP harap kerajaan mencari jalan atau mekanisme lain berhubung penamatan subsidi serta harga kawalan ayam yang akan lebih menekankan rakyat pada masa hadapan,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Subbarow turut meminta pengguna tidak mengabaikan hak masing-masing untuk mengelak berhadapan situasi ditindas peniaga.
“Kalau boleh boikot jualan ayam yang mahal atau kurangkan pemakanan ayam contohnya seminggu makan ayam kurangkan tiga ke empat hari agar jualan peniaga merosot sekali gus mereka mungkin jual bahan mentah tersebut pada harga berpatutan,” jelasnya.
Terdahulu, Kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November ini, manakala pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C dilanjutkan mengikut mekanisme sedia ada.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette