KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi untuk menutup kelompongan (lacuna) yang wujud dalam Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah agar ia sesuai dengan perkembangan semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana jenayah syariah melibatkan penyebaran ajaran sesat kini semakin berleluasa di media sosial.
Tambahnya, tindakan itu juga bagi memastikan undang-undang syariah di negara ini tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus menjadikan penguatkuasaan dan pendakwaan dalam negara lebih efisien.
“Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini menentukan bagaimana siasatan itu boleh dilakukan. Contoh seperti saya sebut tadi, ajaran Si Hulk kalau secara fizikal dia mengajar ajaran sesat itu di Gombak contohnya, jadi pendakwaan itu boleh dilakukan di Mahkamah Syariah Gombak di tempat kesalahan itu dilakukan .
“Namun kalau ia berlaku secara atas talian iaitu di media sosial, di mana kita nak menentukan kesalahan itu dilakukan.
“Jadi inilah yang perlu dibincangkan dan saya sebut tadi sekiranya lacuna ada dalam akta atau enakmen Tatacara Jenayah Syariah maka akta atau enakmen itu perlu dipinda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Tambah Mohd Na’im, sekiranya pindaan akta tersebut dapat segera dilakukan, maka mereka yang melakukan kesalahan jenayah syariah atas talian akan berasa takut kerana tidak dapat mengelak daripada undang-undang yang telah pinda.
Mengulas mengenai persidangan itu, Mohd Na’im berharap pihak penguatkuasa jabatan agama Islam di seluruh negara dapat menjalankan siasatan jenayah syariah dengan lebih baik menerusi kerjasama agensi-agensi berkaitan.
“Saya berharap semua penguatkuasa agama ini bila berhadapan dengan perlakuan kesalahan syariah, yang dulunya dilakukan secara fizikal tapi kini secara atas talian melalui sosial media.
“Mereka tahu bagaimana untuk menjalankan siasatan dan seterusnya membuat laporan kepada bahagian syarie supaya kes ini dikemukakan di mahkamah syariah di seluruh negara untuk tujuan pendakwaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette