KUALA LUMPUR – Singapura dan Malaysia sedang menjalankan kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem Zon Ekonomi Khas (SEZ) antara kedua-dua negara, untuk mengetahui perkara yang harus ditumpukan pada zon ekonomi tersebut pada masa hadapan.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kedua-dua negara itu kemudiannya akan menandatangani memorandum persefahaman berkaitan hasil daripada kajian tersebut yang diharapkan dapat dimeterai awal tahun depan.
“Pada peringkat awal, saya rasa ada tiga perkara yang anda mahu lakukan (dalam SEZ), pertamanya menambah baik aliran barangan antara kedua-dua pihak, kerana dengan adanya SEZ akan ada pengaturan cukai khas dan gudang berbon dan oleh itu akan memudahkan lagi aliran di sempadan.
“Keduanya, penyusunan aliran keluar masuk yang lebih baik dan mudah bagi mereka yang bekerja di kedua-dua belah tambak dan seterusnya syarikat di SEZ akan dapat memperoleh kakitangan yang mereka perlukan, gabungan pekerja profesional, pekerja mahir dan pekerja am lain yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama-sama dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini. – Bernama