Suhaili Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytihar sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut diambil selepas mempertimbangkan dengan teliti rintihan rakyat Labuan yang terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.

Katanya, penduduk juga berdepan dengan masalah bekalan air dan elektrik yang dideritai sejak hampir 15 tahun lalu.

“Tindakan-tindakan yang diambil untuk mengatasi semua permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Labuan bolehlah dikatakan sebagai melepaskan batuk di tangga atau ‘piecemeal basis’ sahaja.

“Maka mengambil kira ke atas semua permasalahan rakyat Labuan yang saya nyatakan diatas saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula daripada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya hari ini.

Beliau turut mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Suhaili pada masa sama menegaskan, beliau akan terus taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu.

“Meskipun berkemungkinan akan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya.

“Demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang,” katanya.

Suhaili adalah Ahli Parlimen kedua daripada Bersatu yang mengumumkan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Iskandar Dzulkarnain berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast