Anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengagihkan bantuan kemanusiaan.

DEIR AL-BALAH – Semenanjung Gaza menerima bantuan kemanusiaan terbesar sejak serangan ganas Israel yang memasuki hari ke-25.

Sebanyak 33 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza kelmarin yang bagaimanapun masih kurang daripada jumlah yang diperlukan.

Keadaan kemanusiaan di Gaza yang menyaksikan lebih 8,000 penduduknya terbunuh dalam serangan tentera Israel masih genting dengan bekalan keperluan asas tidak mencukupi.

Jurucakap Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Juliette Touma berkata, ribuan penduduk menyerbu gudang simpanan berebut mengambil tepung serta produk kebersihan.

“Penduduk Gaza amat terdesak, mereka lapar, mereka tidak cukup rehat dan tidur, semuanya sangat teruk,” ujarnya.

Touma turut memaklumkan Gaza masih berhadapan kekurangan bahan api kerana regim Israel mashi menghalang kemasukannya.

Israel mengawal sepenuhnya penyaluran bantuan ke Gaza yang dibenarkan masuk ke kawasan Gaza melalui pintu masuk Rafah dari Mesir.-Agensi