Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Pertempuran yang berlaku antara pejuang Hamas dengan tentera Israel merupakan bibit permulaan kepada sebuah kemenangan yang besar.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyampaikan mesej tersebut ketika menelefon Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semalam.

Abdul Hadi menegaskan, kumpulan Hamas dan briged Al-Qassam adalah barisan hadapan ummah dan kepimpinan umat Islam kini berada di tangan mereka.

Menurut media rasmi Pas Pusat, Abdul Hadi menyatakan kepada Haniyeh bahawa Malaysia secara keseluruhan berpihak kepada Palestin.

“Sesungguhnya rejim Zionis benar-benar sedang melakukan pembunuhan besar-besaran di Gaza,” kata Abdul Hadi kepada Haniyeh.

Menurut Abdul Hadi, perjuangan Palestin untuk mendapatkan tanah air yang merdeka bukan sahaja disokong oleh negara-negara Arab dan Islam tetapi juga daripada negara lain.

Sokongan yang ditunjukkan oleh negara berkenaan disifatkan sebagai sangat luar biasa kerana berani bangkit menyatakan solidariti bersama Palestin dengan mengadakan demonstrasi secara besar-besaran.

“Ismail Haniyeh menghargai sokongan kuat dari Pas dan Malaysia yang secara rasmi dan terbuka menyokong hak rakyat Palestin mempertahankan tanah kediaman mereka dan melancarkan kempen sumbangan untuk rakyat Palestin,” katanya.

Haniyeh juga merayu kepada Malaysia supaya mendakwa pemimpin Israel dan menuntut mereka bertanggungjawab atas jenayah dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Haniyeh menyeru kepada media agar terus menyokong Palestin dan mendedahkan jenayah perang Zionis serta menafikan naratif kumpulan itu yang cuba mengambarkan Hamas sebagai pengganas dan jahat. – MalaysiaGazette