SEPANG – Sekumpulan pekerja syarikat penerbangan, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sebagai tindakan terhadap syarikat terbabit yang gagal menyatakan status mereka.
Rata-rata mereka yang ditemui memberitahu, laporan turut dibuat sebagai desakan agar syarikat terbabit membayar gaji mereka yang tidak dilunaskan sejak dua bulan lalu.
Ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran, mereka yang hadir di IPD berkenaan berkata, tawaran lumayan yang dijanjikan syarikat berkenaan ‘lebur’ tiba-tiba dan hanya dapat dinikmati tidak sampai 10 bulan.
Pegawai Khidmat Pelanggan, Siti Zubaidah Abu Hashim, 30, berkata, dia tidak menyangka tawaran kerja yang diterima daripada syarikat berkenaan hanya mampu bertahan tidak sampai setahun.
Katanya, akibat daripada pelbagai masalah yang dihadapi oleh syarikat terbabit, dia kini terpaksa menanggung pelbagai hutang selepas tidak mampu membayar, susulan
tunggakan gaji yang tidak diterima sejak September lalu.
“Status kami juga tidak diketahui kerana, jika kami masih lagi pekerja kenapa gaji kami tidak dibayar hingga kini.
“Kami tahu apa yang sedang dihadapi oleh pihak syarikat, tetapi, kami ini pekerja dan majikan perlu membayar gaji, meskipun apa jua yang mereka hadapi,” katanya.
Rakannya, Abdussalam Nek Kamal, 34, berkata, akibat majikan yang tidak membuat bayaran gaji selama dua bulan dia terpaksa meminjam dengan ibu bapa serta adik beradiknya yang lain hanya semata-mata mahu membayar komitmen bulanan.
Katanya, dia buntu apabila pihak bank sering menghubunginya dengan memaksa agar membuat bayaran ansuran rumah dan kenderaan yang dimilikinya.
“Sampai bila saya nak meminjam dengan ibu bapa saya, saya ini bekerja tapi, hanya majikan yang tidak melunaskan bayaran gaji kami.
“Saya pun tidak mahu lagi meminta-minta seperti ini dan cukuplah sekadar MyAirline memahami apa yang sedang kami hadapi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Abdussalam bersyukur kerana dia diterima semula bekerja di syarikat lamanya dan hanya menunggu tarikh untuk dia memulakan tugas.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan syarikat berkenaan, Shahril Nazri Abdullah, 28, mendakwa, ada dalam kalangan rakan-rakannya yang telahpun disenarai hitamkan bank akibat tertunggak membayar ansuran kenderaan.
Malah, ada juga kenderaan milik rakan-rakannya yang telah ditarik oleh bank.
“Memang sukarlah sekarang ini, bagi mereka yang suami isteri bekerja di syarikat sama memang terpaksa berdepan dengan masalah besar.
“Macam saya sendiri pun cuba cari kerja lain tapi bukan senang nak terus dapat kerja baru pada masa ini. Saya harap pihak-pihak yang berkenaan dapat bantu selesaikan masalah yang kami tanggung ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, MYAirline perlu memberi penjelasan mengenai nasib pekerja terbabit sama ada mereka masih lagi bekerja atau tidak.
Katanya, keadaan mereka yang seolah-olah tergantung menyukarkan kumpulan pekerja terbabit sama ada untuk mencari pekerjaan lain atau membuat tuntutan skim insuran pekerjaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jelas beliau, menjadi tanggungjawab MyAirline membela nasib pekerja terbabit kerana perkara itu membabitkan sektor pengangkutan awam dan imej negara.
“Syarikat perlu melunaskan gaji pekerja yang tertunggak termasuk faedah pemberhentian sekiranya ditamatkan kerja.
“MTUC berharap Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengambil tindakan segera bagi membantu membela nasib pekerja,” katanya.
Pada 12 Oktober lalu, MyAirline membuat pengumuman memberhentikan operasi sementara waktu menerusi e-mel yang dihantar kepada pekerja pada pukul 5.18 pagi.
Menurut sumber, terdapat kira-kira 900 pekerja dalam pelbagai bidang di syarikat itu berdepan dengan masalah tidak dibayar gaji dan status kerja yang tergantung. – MalaysiaGazette