Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada tahun depan bakal menjadi ‘malapetaka ekonomi’ kepada rakyat dan negara di saat nilai ringgit semakin lemah.

Malah kuasa beli rakyat turut akan berkurang akibat kesan langsung kenaikan harga ayam kerana bahan mentah bagi pembuatan makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya sudah naik melambung, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Menurutnya, alasan menamatkan subsidi ayam semalam tidak disusuli dengan statistik dan data.

“Menamatkan subsidi bermakna harga ayam akan diapungkan berdasarkan kondisi pasaran termasuklah bagaimana keadaan permintaan dan pengeluaran mempengaruhi harga. Akibatnya, harga ayam bakal naik mendadak.

“Percayalah, menteri bertanggungjawab akan menyalahkan situasi ekonomi dunia apabila harga ayam meningkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, jika sebelum ini, rakyat yang susah dapat menikmati hidangan ayam dan telur sebagai sumber protein namun selepas ini rakyat hanya mampu makan telur sebagai sumber protein.

Ujarnya, peniaga restoran juga bakal terkesan dengan peningkatan harga ayam yang akibatnya akan menyebabkan harga makanan bakal melonjak tinggi.

“Solusi jangka pendek yang populis seperti jualan ayam harga Rahmah untuk beberapa puluh ekor pada masa terhad hanyalah retorik politik.

“Tahun hadapan apabila cukai perkhidmatan dinaikkan dari enam peratus kepada lapan peratus, kecuali makanan, minuman dan telekomunikasi ia akan menyebabkan kos bagi semua itu turut akan meningkat. Ini adalah kesan langsung atau domino effect (kesan domino) yang bakal berlaku,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast