KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya mempertimbangkan penggunaan sistem barter dengan negara-negara jiran sebagai alternatif tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan barangan termasuk yang bersubsidi di sempadan.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, langkah itu pernah dilaksanakan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu.
Menurut beliau, sistem barter memberi ruang untuk pertukaran barangan dilakukan dengan negara-negara seperti Indonesia dan Filipina.
“Kalau orang dari Filipina nak beli minyak, contohnya gas dari Jakarta… jauh. Nak beli minyak masak dari Manila, 20 jam naik kapal.
“Bayangkan kalau ia dibenarkan, sistem barter antara langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan,” katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Armizan ketika menjawab celahan tersebut berkata, penguatkuasaan yang dilakukan oleh kerajaan tidak terhad kepada kawalan harga, perihal dagangan dan barangan kawalan.
Beliau memberitahu, kerajaan turut melihat aspek kawal selia kartel yang mana ia boleh dilakukan dengan memperkasakan Akta Persaingan 2010.
“Kerana di sinilah kerangka perundangan yang sepatutnya mengawal selia kartel.
“Sama ada dalam bentuk penetapan harga, pakatan menetapkan pengeluaran, menetapkan kawasan pasaran begitu juga menipu bidaan perolehan,” jelasnya. – MalaysiaGazette