Mohd Izzat Illzam Rosidi (tengah) bersama kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut menunjukkan salinan laporan polis terhadap sebuah laman facebook yang didakwa memfitnah dan membuat hantaran jelek terhadap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Jerantut hari ini.

JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut hari ini membuat laporan polis terhadap laman facebook Promosi PN Maran yang didakwa memfitnah dan membuat hantaran jelek terhadap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Laporan polis itu dibuat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Mohd Izzat Illzam Rosidi di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut hari ini.

Mohd Izzat Illzam dalam laporan polis menyebut laman facebook berkenaan secara jelas cuba menjatuhkan maruah dan reputasi Wan Rosdy sebagai Menteri Besar.

“Di dalam hantaran tersebut, Promosi PN Maran telah mengeluarkan fitnah terhadap YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail yang menyebut Apakah MB Pahang ini keturunan Yahudi ke?” katanya.

Menurutnya, laman berkenaan menyiarkan petikan video pendek ucapan Wan Rosdy pada Himpunan Pahang For Palestine pada 28 Oktober lepas di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan.

Hantaran berkenaan telah menerima 4,400 respon dan juga komen yang rata-ratanya mengecam, memperlekeh dan menghina Menteri Besar.

“Oleh yang demikian, saya meminta supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat secara menyeluruh tujuan sebenar pemilik atau pengendali akaun Facebook Promosi PN Maran
membuat hantaran sebegitu serta mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Razaira Rashid; Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zainorin Abidin serta barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut. – MalaysiaGazette