Seorang kanak-kanak mendukung adiknya di hadapan rumah yang hampir musnah dibom Israel.

GAZA CITY – Israel dilaporkan telah menghancurkan lebih 180,000 rumah atau 45 peratus kediaman di Semenanjung Gaza sejak serangan ganas bermula 7 Oktober lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, hampir 40,000 rumah  musnah sama sekali dan selebihnya rosak teruk.

Ketika ini 1.4 juta rakyat Palestin menjadi pelarian sama ada disebabkan rumah yang didiami hancur dibom atau kerana terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing bagi mencari perlindungan.

“Angka ini termasuk hampir 671,000 orang yang tinggal di 150 kemudahan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

“Seramai 121,750 berlindung di hospital, gereja dan bangunan awam lain dan hampir 83,000 di 72 sekolah bukan UNRWA,” katanya.

Kementerian Pembangunan Sosial menganggarkan kira-kira 700,000 pelarian kini menumpang di rumah penduduk yang masih selamat daripada serangan Israel.

Sejumlah 221 sekolah atau kira-kira 40 peratus daripada bangunan pendidikan turut hancur selepas dibom pengganas Israel.

Manakala 15 hospital dan 51 klinik kini tidak lagi beroperasi sama ada rosak selepas dibom atau tidak mempunyai bahan api untuk menghidupkan generator bagi membekalkan elektrik.

Kementerian itu juga berkata, sehingga semalam seramai 8,613 rakyat Palestin telah dibunuh dengan 8,485 syahid di Gaza manakala 125 lagi menjadi korban serangan Israel di Tebing Barat.

Sementara itu 130 petugas kesihatan di Gaza dilaporkan terbunuh dan 110 cedera dan sebanyak 78 ambulans menjadi sasaran serangan dengan 28 musnah.

“Serangan Israel yang berterusan telah menyebabkan kebanyakan profesional perubatan di Gaza kehilangan tempat, memaksa hospital untuk beroperasi dengan kurang daripada satu pertiga daripada tahap kakitangan biasa mereka.

“Hospital-hospital terus mengalami kekurangan bahan api yang teruk, yang membawa kepada catuan yang ketat dan penggunaan penjana yang terhad untuk fungsi yang paling penting sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette