Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak membuat spekulasi terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang pada 26 Jun lalu yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) pegawai polis, Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali Inspektor Shiela daripada pertuduhan membawa keaiban terhadap seorang anggota berpangkat Lans Koperal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah mengesan laporan sebuah portal berita yang menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Sheila Sharon atas alasan pertuduhan kesalahan tidak dibacakan kepada tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret seperti mana yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Pelaporan dari berita online ini dilihat tidak menyeluruh dan sedikit mengelirukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ariffin, pada 30 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membacakan keputusan rayuan yang difailkan oleh tertuduh.

Tambah beliau, dalam rayuan itu, tertuduh telah mempertikaikan keputusan majistret terhadap pertuduhan asal yang mana tertuduh mendakwa majistret sepatutnya membuat keputusan lepas dan bebas (A&D).

Katanya, hasil hujah kedua belah pihak, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan bahawa pertuduhan asal tersebut tidak pernah dibacakan lalu perintah DNAA oleh majistret tersebut diketepikan.

“Namun mahkamah tidak pernah memberikan perintah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.

“Pertuduhan mengaibkan kehormatan anggota polis tersebut masih diteruskan di bawah satu nombor kes yang lain yang mana pertuduhan telah dibacakan kepada tertuduh.

“PDRM juga mengesahkan bahawa pertuduhan kes terhadap tertuduh masih lagi diteruskan dan ditetapkan untuk perbicaraan pada 5, 6, dan 7 Februari 2024 di Mahkamah Majistret Selayang,” ujarnya. – MalaysiaGazette