KUALA LUMPUR – Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 yang berlangsung pada Selasa lalu menjadi pembakar semangat kepada penerimanya untuk terus berbakti selain pemangkin untuk bekerja lebih gigih, kata Prof Madya Dr Adibah Abdul.
Penerima Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan itu berkata, tidak pernah terlintas untuk dirinya menerima anugerah berprestij tersebut.
Dr Adibah dalam pada itu menganggap penganugerahan yang diberikan kepadanya adalah cabaran untuk beliau berusaha lebih gigih pada masa akan datang.
“Saya mula bekerja di UTM sejak 2003 dan sudah tentu untuk berada pentas dan menerima anugerah AAN, ia sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran oleh mana-mana pendidik seperti saya.
“Anugerah ini saya anggap bukan sebagai satu balasan tetapi ia adalah sebagai motivasi dan penghargaan supaya pendidik itu merasakan bahawa diri mereka sebenarnya sangat signifikan dalam komuniti dan masyarakat kita,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang.
Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Adibah membawa pulang hadiah RM50,0000 berserta piala dan sijil.
Pengajar di Sekolah Pendidikan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dipilih atas usaha beliau yang telah melaksanakan pelbagai inovasi dalam konteks pengajaran dalam meningkatkan perolehan ilmu pelajar ke tahap yang lebih baik.
Bagi Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan, pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Dr Norliza Mohd Isa dinobatkan sebagai penerima.
Beliau diangkat memenangi anugerah itu atas usaha beliau yang memperkenalkan konsep AQWAM iaitu sikap (attitude), emosi (emotional quotient), kerja berpasukan (teamwork) dan kemahiran komunikasi (communication skill).
Jelas Norliza, salah satu aspek utama dalam pembelajaran yang dipraktikkan beliau adalah budaya hormat menghormati di antara pelajar dan juga pengajar.
“Prinsip pengajaran saya memastikan pelajar-pelajar saya lebih beradab. Mereka (pelajar) cemerlang macam mana sekalipun kalau tidak mempunyai akhlak yang baik tidak akan membawa ke mana.
“Kalau pelajar itu lemah sekalipun tapi ada usaha saya akan bimbing sampai akhir. Tapi mana-mana pelajar yang biadab dia tidak akan ke mana. Itu prinsip saya, saya bukan researcher yang hebat tapi saya adalah ahli akademik yang suka mengajar,” katanya.
AAN adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Program ini merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Malah, AAN juga adalah merupakan satu daripada inisiatif kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.
Seramai empat (4) orang ahli akademik lain juga telah dinobatkan sebagai penerima AAN mengikut kategori berikut:
i. Anugerah Tokoh Akademik Negara
Profesor Datuk Dr Adeeba binti Kamarulzaman
Universiti Malaya (UM)
ii. Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains
Profesor Madya Dr Tan Jun Jie
Universiti Sains Malaysia (USM)
iii. Anugerah Penerbitan Buku
Profesor Dr Shamsul Bahri Abdul Razak
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
iv. Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk
Ts Dr Mariani Abdul Hamid
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – MalaysiaGazette