GAZA CITY – Jumlah kematian rakyat Palestin akibat siri serangan dan penghapusan kaum oleh tentera penceroboh Israel meningkat kepada 8,850 orang.
Sebanyak 8,720 kematian dilaporkan di Gaza dan 130 lagi di Tebing Barat sejak konflik bersenjata antara pejuang Hamas dan Israel tercetus pada 7 Oktober lalu.
Sementara itu lebih 23,000 orang cedera dalam serangan berterusan yang dilakukan oleh Israel dan jumlah itu cukup besar untuk ditampung oleh sistem kesihatan yang semakin terdesak kerana kekurangan ubat dan kakitangan.
Sehingga 29 Oktober lalu sejumlah 1,950 orang termasuk 1,050 masih hilang dan dipercayai berada di bawah timbunan runtuhan bangunan selepas dibom oleh tentera Zionis.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Hospital Turkish Friendship yang merupakan satu-satunya pusat kesihatan untuk kanser kini lumpuh sepenuhnya selepas dibom semalam.
Kira-kira 2,000 pesakit kanser kini hanya mendapat rawatan biasa di Hospital Jurusalem yang turut mengalami kerosakan akibat serangan Israel.
Manakala Kompleks Perubatan Shifa yang berkali-kali diberi amaran supaya dikosongkan oleh Israel akan lumpuh dalam tempoh 24 jam kerana kehabisan bahan bakar.
Ketika ini hanya 13 hospital masih beroperasi penuh walaupun turut menerima tekanan berkali-kali daripada regim Zionis supaya dikosongkan.
Sejumlah 132 kakitangan perubatan turut maut dalam serangan Israel, 110 maut, 50 ambulans diserang dan 28 telah musnah.-Agensi