GAZA CITY – Pertubuhan pembebasan Palestin, Hamas nekad untuk mengulangi berkali-kali ‘serangan 7 Oktober’ terhadap Israel
Ahli biro politik Hamas, Ghazi Hamad berkata, Israel adalah sebuah negara yang tidak mempunyai tempat di atas muka bumi.
Hamad berkata bahawa kewujudan Israel adalah “tidak logik” dan negara itu mesti dihapuskan dari semua tanah Palestin.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan saluran TV Lubnan, LBC, pada 24 Oktober lalu.
“Kita mesti menghapuskannya kerana ia merupakan malapetaka keselamatan, ketenteraan dan politik kepada negara Arab dan Islam. Kami tidak malu untuk mengatakan ini,” katanya.
Menurut Hamad, Israel perlu diberi pengajaran dan Banjir Al-Aqsa yang merujuk kepada serangan 7 Oktober akan dilakukan lagi terhadap negara Zionis itu.
Tambah beliau, rakyat Palestin telah menjadi mangsa penjajahan, kekejaman dan pembunuhan Israel sejak 75 tahun lalu dan serangan yang dilakukan oleh Hamas ke atas negara Zionis adalah wajar.
“Adakah kita perlu membayar harga? Ya, dan kami bersedia untuk membayarnya. Kami digelar sebagai negara yang mati syahid, dan kami bangga mengorbankan para syuhada,” tegas beliau.
Dalam serangan 7 Oktober lalu, Israel mendakwa pihaknya mengalami 1,400 kematian dan lebih 200 diculik.
Manakala hampir 9,000 rakyat Palestin pula maut dalam siri pengeboman Israel ke atas Gaza dalam tempoh lebih tiga minggu.-Agensi