R. Ramanan

SUBANG JAYA, 2 Nov (Bernama) — Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memperuntukkan RM11.46 juta secara keseluruhan tahun ini bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan memanfaatkan 940 belia India.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA Datuk R. Ramanan berkata, bidang latihan yang diberi tumpuan adalah kimpalan, automasi, elektrik, automatif, komputer, logistik, makanan dan minuman, operasi dron dan pelancongan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, terdapat 30 program yang melibatkan 28 penyedia latihan bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi sesi latihan tersebut.

“Saya ingin menyeru golongan belia India untuk menyahut seruan kerajaan agar meningkatkan diri dengan latihan kemahiran berdasarkan keperluan industri.

“Manfaatkanlah peluang ini untuk meningkatkan status sosioekonomi. Gunakanlah sebaiknya dan jangan sesekali sia-siakan peluang ini,” katanya ketika berucap merasmikan  Electrified Automation Advancement Programme (EAAP) di Taman Perindustrian USJ1 di sini, hari ini.

Menurut Ramanan, MITRA menaja EAAP untuk membantu belia India membina kemahiran dalam industri automatif yang menggunakan teknologi elektrik dan seramai 250 belia India akan dilatih dengan kos keseluruhan bernilai RM2.875 juta.

Beliau berkata untuk setiap individu yang mengikuti latihan EAAP, pelaburan MITRA adalah sebanyak RM11,500 dan latihan akan berlangsung selama 28 hari melibatkan sesi teori dan praktikal.

Katanya EAAP memberikan peluang kepada belia India dari golongan B40 untuk memiliki sijil kemahiran Institute Motor Industry (IMI) tahap tiga dari United Kingdom dan berpeluang meraih pendapatan menggunakan kemahiran teknikal berkaitan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata 250 peserta yang mengikuti EAAP akan menjalani latihan di bawah SG Education Group Berhad yang melibatkan empat lokasi iaitu 100 orang di Kuala Lumpur dan Selangor, 100 (Pulau Pinang) dan 50 orang di Johor.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian itu, Ramanan berkata setelah menamatkan program dan menerima sijil, peserta EAAP layak menerima pendapatan minimum RM3,000 dan peluang pekerjaan akan diatur oleh SG Education Group.

Katanya peserta bagi EAAP dipilih MITRA dan pihak SG Education berdasarkan permohonan yang dibuat secara dalam talian dengan syarat yang ditetapkan ialah peserta dari golongan B40 dan berminat dalam bidang EV.

Sementara itu, SG Education Group dalam kenyataan memaklumkan EAAP merupakan satu inisiatif pembangunan bakat yang komprehensif menggabungkan bidang EV dan automasi industri.

Program ini bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam teknologi automasi dan integrasi sistem EV ke dalam pelbagai sektor industri. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast