Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama pasukan daripada anggota Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 yang akan dihantar ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB UNIFIL ketika di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2023.

SUBANG – Malaysia tidak akan terlibat dengan konflik Palestin dan Israel yang sedang berlaku meskipun mengekalkan pendirian untuk menghantar pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 ke Lubnan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, tindakan itu hanya untuk menggantikan pasukan terdahulu yang telah berada di negara berkenaan selama setahun.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, ia selaras dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengekalkan penghantaran pasukan daripada Malaysia dan negara-negara lain terlibat.

“Keputusan pun masih lagi mengekalkan supaya pasukan pengaman PBB belum ada perubahan. Maka kita Malaysia akan turut serta hantar dan ini merupakan pasukan pengganti.

“Jangan kata kita hantar ke Palestin, macam-macam malaun ada. Ini kita ganti pasukan sedia ada di Lubnan, kebetulannya bahawa kita punya pasukan yang ada setahun di sana memang nak balik, jadual untuk balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-11 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Meskipun kem markas pasukan berkenaan jauh daripada kawasan yang sedang bergolak di Palestin namun Mohamad mengingatkan supaya semua anggota pasukan tersebut berhati-hati dan sentiasa bersedia.

“Sebagai tentera, kena siap sedia apa saja kemungkinan berlaku, untuk kita hadapi apa apa saja yang bakal dihadapi. Nasihat saya, kita punya anggota kena berhati-hati, walaupun sempadan jauh sikit, tak la jauh sangat 20 kilometer sahaja bezanya.

“Tapi apa sahaja boleh berlaku dan kita tetap di bawah PBB. Apa jua arahan, tindakan, keputusan PBB itu yang akan kita ikut,” ujarnya.- MalaysiaGazette