Dr. Noor Azuan Abu Osman (kanan) menerima surat pelantikan dari Datuk Seri Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan pelantikan Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, 54, sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu bagi tempoh tiga berkuat kuasa mulai 6 November 2023 hingga 5 November 2026.

Pelantikan beliau adalah berdasarkan reputasi kepimpinan yang baik dan pengalaman pentadbiran yang luas di peringkat institusi.

Beliau pernah dipinjamkan ke Universiti Malaysia Terengganu sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dari tahun 2017 hingga 2020, kemudian kembali berkhidmat di Universiti Malaya sebagai Pemangku Pendaftar sebelum dipinjamkan sebagai Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 8 Jun 2022 sehingga kini.

Dr Noor Azuan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari University of Bradford, United Kingdom.

Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Biokejuruteraan di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland.

Beliau merupakan Felo Akademi Sains Malaysia dan pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) pada tahun 2022 berdasarkan kredibiliti dan ketokohan yang dimiliki.

“Kementerian yakin Dr. Noor Azuan berkemampuan untuk memperkukuhkan peranan UM sebagai institusi keilmuan ulung dalam melahirkan
bakat intelektual untuk memenuhi keperluan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Dr Noor Azuan juga dilihat berkeupayaan untuk meneruskan kesinambungan pencapaian dan kegemilangan UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara dan disegani di persada global.

Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM berada di kedudukan ke-65 dalam Quacquarelli Symonds World University Ranking (QS-WUR) 2024. – MalaysiaGazette