KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang akan cuba mengambil kesempatan daripada kutipan derma untuk penduduk Palestin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini kerana tiada undang-undang khusus untuk mengawal kutipan derma yang bukan diuruskan oleh kerajaan.
“Kita sedar dengan situasi konflik di Palestin, banyak NGO, persatuan dan pertubuhan tampil menganjurkan kutipan sebagai solidariti kepada rakyat Palestin.
“Tetapi sebagai langkah pengawalan, PDRM menyarankan badan-badan bukan kerajaan yang membuat kutipan derma ini didaftarkan serta dikawal selia oleh agensi kerajaan tertentu seperti JKM atau mana-mana agensi berkaitan.
“Ini bagi memastikan derma itu dapat disalurkan secara sah kepada penerima yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ramli orang ramai berhati-hati menyalurkan sumbangan kepada tabung kemanusiaan khususnya membabitkan bantuan kepada penduduk Palestin. -MalaysiaGazette