Ahmad Maslan mengadakan lawatan di Program Takaful Masuk Kampoung di Ayer Baloi Pontian hari ini.

PONTIAN – Kesedaran rakyat di negara ini mengenai kepentingan insuran masih rendah apabila hanya 40 peratus sahaja dilindungi insuran dan takaful.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan skim Insuran Tenang merupakan pelan Takaful Keluarga yang memberikan bantuan tunai sekiranya dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia disebabkan Covid-19.

Beliau berkata, rakyat di negara ini seharusnya mendapatkan perlindungan daripada takaful sebagai persediaan mendapatkan perlindungan bagi membantu sebagai persediaan mereka ketika ditimpa musibah.

“Saya ambil contoh kejadian banjir besar di Shah Alam pada tahun 2021, hanya lima peratus daripada kerugian RM6.1 billion yang ditanggung oleh mangsa mempunyai perlindungan insuran.

“Keadaan itu sudah pasti membolehkan kepada mangsa yang mempunyai insuran membina semula kehidupan mereka selepas ditimpa bencana tersebut.” katanya selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Redzuan Mohamed

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, peranan Persatuan Takaful Malaysia telah banyak membantu masyarakat di bandar dan luar bandar menyertai program takaful dan insuran.

“Program di Pontian ini merupakan kali keempat diadakan dengan kerjasama Pejabat DUN Pulai Sebatang bagi menyedarkan orang ramai mengenai kepentinggan perlindungan takaful dan insurans.

Sementara itu, ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, pada tahun ini, pihaknya telah memberikan perlindungan takaful kepada 100 orang golongan miskin tegar.

Selain itu, 17 orang ketua kampung dan tiga orang penghulu di kawasan DUN Pulai Sebatang juga telah diberikan perlindungan insurans dan takaful bagi melindungi tugas-tugas mereka seharian.

“Pada tahun ini kita telah menambah seramai 223 orang miskin tegar diberikan perlindungan insuran dan takaful bagi melindungi mereka dari kejadian tidak diingini,” jelasnya. – MalaysiaGazette