MELAKA – Masjid di seluruh negara dicadang mewujudkan Tabung Kasih Rahmah (TKR) bagi memberi bantuan kecemasan segera kepada ahli kariah yang ditimpa musibah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu juga dapat memperluaskan lagi peranan masjid supaya tidak hanya terhad kepada tempat beribadat semata-mata.
“Jadi TRK ini dapat membantu ahli kariah yang terputus wang bantuan kecemasan kebakaran dan kemalangan yang mana pihak masjid melalui tabung ini boleh beri contohnya minimum RM200.
“Golongan asnaf pula boleh diberi peluang bekerja secara sambilan dengan bayaran RM50 untuk empat jam membersihkan masjid sekali gus dapat merakyatkan institusi masjid ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Program Ziarah Kasih Rahmah 2023 (Zikir ’23) Peringkat Zon Selatan sempena Sambutan Bulan Wakaf Melaka di Masjid As-Salimin, Kandang di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, cadangan itu perlu diperluaskan di seluruh negeri selepas bermula di Wilayah Persekutuan beberapa hari lalu.
“Falsafahnya adalah saya mahu masjid ini bukan sahaja jadi tempat solat semata-mata tapi perlu ada peranan lain termasuk tempat orang susah mencari bantuan.
“Di Melaka, tabung ini Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) boleh mulakan sumbangan dan dikawal prosedurnya oleh pengerusi masjid,” katanya. – MalaysiaGazette