Antony Blinken

AMMAN – Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken bertegang urat dengan pemimpin Arab di Jordan selepas tidak setuju dengan cadangan agar gencatan senjata dilakukan segera di Gaza.

Pemimpin Arab mengecam angka kematian orang awam yang semakin meningkat dalam serangan Israel terhadap Gaza dan mendesak gencatan senjata segera pada hari Sabtu,

Blinken bagaimanapun memberi amaran bahawa langkah sedemikian akan menjadi tidak produktif dan boleh menggalakkan lebih banyak serangan daripada Hamas terhadap Israel.

Blinken berpegang teguh pada pendirian AS bahawa gencatan senjata akan menjejaskan hak dan kewajipan Israel untuk membela rakyatnya selepas serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel.

Beliau berkata, komitmen pentadbiran Presiden AS Joe Biden terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri tetap tidak berbelah bahagi.

“Adalah pandangan kami sekarang bahawa gencatan senjata hanya akan meninggalkan Hamas di tempatnya, dapat berkumpul semula dan mengulangi apa yang dilakukannya,” kata Blinken seperti yang dilaporkan oleh Times of Israel.

Beliau berkata, AS menyokong “penghentian permusuhan kemanusiaan” dalam operasi Israel untuk membolehkan aliran bantuan yang lebih baik dan peningkatan transit warga asing keluar dari Gaza dan ke Mesir.

Menteri-menteri Arab berulang kali menyeru agar pertempuran dihentikan sekarang dan mengutuk taktik perang Israel.

Sameh Shoukreh dari Mesir berkata negaranya “tidak boleh menerima” kempen agresif Israel terhadap Hamas di Gaza sebagai mempertahankan diri.

Beliau menggelarkan serangan Israel sebagai ‘hukuman kolektif’ terhadap rakyat Palestin di Gaza. “Ini tidak boleh menjadi pertahanan diri yang sah sama sekali,” katanya.-Agensi