Ketua Zon Empat Hulu Langat JBPM Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof bercakap kepada Malaysia Gazette di Kampung Bangi Lama, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 NOVEMBER 2023.

BANGI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berjaya mengeluarkan seramai 82 penduduk di sekitar Kampung Bangi Lama yang terperangkap dalam banjir yang berlaku awal lagi tadi.

Menurut Ketua Zon Empat Hulu Langat JBPM Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof, jumlah itu hasil operasi yang digerakkan pada jam 4.32 pagi.

“Bomba Selangor telah menggerakkan 20 anggota daripada 4 buah balai iaitu Balai Bomba Bangi, Kajang, Semenyih dan Tun Hussein Onn. Ia bagi kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan aktiviti kebombaan yang lain.

“Jumlah mangsa yang berjaya dikeluarkan oleh bomba adalah 82 individu termasuk 50 individu lain yang dibantu secara manual. Sehingga kini kita telah membuka dua pusat penempatan sementara (PPS) di SK Bangi dan SK Semenyih,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Shahrin Yusmar berkata, Bomba Selangor turut mewujudkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran banjir berkenaan.

“Pasukan cepat bersama bomba di daerah Bangi untuk berada di sini 24 jam. Memandangkan keadaan masih mendung dan dijangka hujan akan turun bila-masa jadi kita telah menempatkan aset kita seperti 4 unit bot penyelamat bersama kenderaan penarik,” katanya lagi.

Mangsa banjir yang berpindah kerana rumah mereka tenggelami banjir ketika tinjauaan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bangi Lama, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 NOVEMBER 2023.

Shahrin Yusmar turut berkata, atas faktor keselamatan, penduduk yang terlibat dengan banjir dinasihatkan agar akur dengan arahan untuk berpindah.

Katanya, ini kerana terdapat penduduk yang enggan berpindah ke  PPS dan nekad untuk tinggal di rumah masing-masing.

“Kita telah mengenal pasti beberapa lokasi di dalam kawasan zon kita terdapat rumah yang mempunya lebih dari satu tingkat di mana penduduk bertindak untuk tidak berpindah ke PPS dan mereka membuat keputusan untuk berada di tingkat atas rumah masing-masing.

“Kita turut berikan khidmat nasihat untuk sentiasa menjaga keselamatan diri terutama ketika paras air meningkat dan memastikan punca eletrik dimatikan dan juga punca gas dimatikan,” katanya lagi.

Sekitar Bangi Lama terutamanya Kampung Bangi dilanda banjir disebabkan hujan lebat.

Kira-kira 200 penduduk di Taman Semenyih Indah dan Kampung Bangi Lama, Selangor dipindahkan selepas rumah mereka terjejas banjir, awal pagi tadi. – MalaysiaGazette