Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Raub dinobatkan sebagai kontinjen terbaik sempena Karnival Sukan OKU PPDK Pahang

KUANTAN – Raub muncul sebagai kontinjen terbaik dalam kejohanan Karnival Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) pada tahun ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, daerah itu berjaya menang besar dalam sukan yang melibatkan penyertaan golongan anak istimewa yang julung kali diadakan di negeri ini.

“Daerah Raub meraih 12 pingat dalam acara yang dipertandingkan. Raub telah memenangi lima pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.

“Manakala bagi kategori atlet wanita dan lelaki juga dimenangi peserta dari Raub.

“Selain itu Raub menang dalam acara pameran dan perarakan terbaik pada kejohanan kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, kesemua kontinjen memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan semua acara yang dipertandingkan selama tiga hari bermula 4 November sehingga hari ini.

Acara perbarisan dan perarakan masuk semua kontinjen mewakili 53 PPDK di negeri ini berlangsung dengan meriah di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi

Justeru katanya, kerajaan negeri tidak menolak untuk menganjurkan kejohanan itu pada masa akan datang.

Sebanyak 12 kontinjen yang melibatkan 11 daerah terdiri daripada 53 buah PPDK Negeri Pahang dan satu kontinjen dijemput khas dari kanak-kanak Pendidikan Khas Negeri Pahang menyertai acara ini/

Seramai 299 atlet menjayakan karnival sukan itu membabitkan 362 orang pegawai yang terdiri daripada urusetia, agensi, sukarelawan dan jemputan dari semua PPDK Negeri Pahang.

Majlis penutup karnival dirasmikan oleh Sabariah serta diiringi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa dan Pengerusi PPDK Kompleks Penyayang, Syahira Yahya malam tadi.

Karnival Sukan OKU PPDK Negeri Pahang adalah acara sukan yang dianjurkan khas untuk individu dengan keupayaan fizikal, intelektual, atau sensori yang berbeza.

Karnival ini bertujuan untuk mewujudkan peluang yang adil dan inklusif bagi OKU untuk terlibat dalam aktiviti sukan, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keupayaan OKU, serta mendorong pemulihan, kecergasan, dan pemerkasaan diri bagi peserta OKU. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast