GAZA CITY – Serangan ganas Israel selama 30 hari telah mengakibatkan sejumlah 9,730 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza maut.
Lebih 73 peratus yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Kementerin Kesihatan Palestin berkata, seramai 153 lagi mati di Tebing Barat dalam tempoh berkenaan.
Sementara angka cedera meningkat kepada lebih 24,000 di Gaza dan 2,200 di Tebing Barat.
Tiga hospital terbesar di Gaza iaitu Al-Shifa, pusat kesihatan kanak-kanak Nasser dan al-Quds berhadapan ancaman berterusan untuk dimusnahkan dengan persekitaraan kawasan telah hancur dibom Israel.
Sebanyak 16 daripada 35 pusat kesihatan telahpun ditutup kerana musnah dan rosak diserang regim Zionis.
Doktor kini terpaksa melakukan pembedahan tanpa ubat pelali kerana kehabisan bekalan ubat-ubatan.
Keganasan Israel dalam tempoh satu bulan turut menyebabkan 70 peratus daripada 1.5 juta penduduk kini tidak mempunyai kediaman sama ada rumah mereka dimusnahkan atau terpaksa melarikan diri.
Menurutnya, hampir 200,000 kediaman telah dibom oleh tentera Israel yang turut menyasarkan 55 buah masjid dan 7 buah gereja.- Agensi