Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang membuat dakwaan menerima jawatan dan projek untuk menyokong kerajaan sepatutnya laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, aduan tersebut memberi peluang pihak berkuasa tersebut membuat siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Dalam kes ini seperti yang dibangkitkan Jelutong (RSN Rayer- Pakatan Harapan) sekiranya dua ahli Parlimen itu mempunyai maklumat sedemikian mereka sepatutnya membawa aduan kepada SPRM agar tindakan lanjut dan siasatan dibuat.

“Tapi mereka perlu buat aduan,” katanya ketika penggulungan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh ahli Parlimen yang mendakwa menerima tawaran untuk menyokong parti.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ditawarkan jawatan dan projek disahkan dua ahlinya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Dr. Ku Abd Rahman berkata, dirinya dihubungi menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang penawaran projek pembinaan hotel di kawasannya.

Manakala Che Mohamad pula mendakwa telah dihubungi oleh seorang yang dikenali sebagai Datuk Rizal Adham.

Katanya, beliau mendapat satu e-mel yang individu berkenaan bercadang untuk membina hotel 40 bilik di Besut.-MalaysiaGazette