BATU PAHAT – Seorang pesara kerajaan kerugian RM299,373 apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud melalui laman sosial media, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa wanita berusia 62 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat semalam mendakwa beliau ditipu.
“Menurut mangsa kejadian bermula pada April lalu apabila mangsa berurusan dengan seorang lelaki dengan menggunakan Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menggunakan nama Syarikat Bitcoin Yoamax,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa dikatakan memulakan pelaburan sebanyak RM35,320 melalui tujuh transaksi akaun bank secara berperingkat.
“Hasil siasatan kami (polis) mangsa juga menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan selain maklumat perbankan untuk urusan berkenaan serta memuat turun aplikasi Yoamax.
“Seperti biasa, sama seperti mangsa lain, wanita ini kemudiannya dihubungi kerana telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun diminta untuk memasukan wang berjumlah RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit tersebut,” katanya.
Katanya, suspek memberitahu mangsa bahawa wang tersebut akan dikembalikan sekiranya mangsa didapati tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Selain itu, katanya, mangsa juga dikehendaki memasukkan wang berjumlah RM99,636 atas tujuan pembayaran pertukaran wang asing.
Namun sehingga hari ini, kata Ismail, mangsa masih belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan yang dinyatakan sebelum membuat laporan polis. – MalaysiaGazette