PLATFORM "Suara Malaysia Untuk Palestin" pada 8 Oktober ini jam 8.30 malam di Datum Jelatek Shopping Centre., Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kezaliman tentera rejim zionis Israel terhadap penduduk Palestin dengan wilayah Gaza menjadi sasaran utama umpama tiada penamat. Sehingga kini lebih 10,000 nyawa rata-rata kanak-kanak dan warga emas telah terbunuh.

Israel semakin menggila apabila menjadikan hospital dan sekolah sebagai sasaran untuk meledakkan bom dengan niat mahu membunuh penduduk Gaza tanpa ada sekelumit batasan kemanusiaan.

Paparan kezaliman Israel di semua platform media antarabangsa mengundang rasa marah meluap-luap masyarakat dunia, namun tidak mampu menjentik keegoan dan kesombongan rejim zionis yang mendapat sokongan kuasa besar dunia.

Kemarahan terhadap Israel turut menular dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mengundang siri demonstrasi dan tindakan memboikot jenama-jenama besar yang ada kaitan dengan penajaan dana terhadap penjajahan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin.

MalaysiaGazette tidak ketinggalan membicarakan perihal kekejaman demi kekejaman yang telah berlangsung puluhan tahun lamanya, namun gagal ditangani oleh kuasa-kuasa besar termasuk OIC sehingga membenihkan persoalan sampai bila Palestin tersisih dan adapakah masa depan untuk rakyat di negara tersebut.

Menerusi program PLATFORM MG “Suara Malaysia Untuk Palestin”, MalaysiaGazette bakal menampilkan empat panel khas untuk berbincang konflik di Palestin yang kini semakin berlarutan dan kebongkakan Israel enggan mendengar gesaan dunia supaya diadakan gencatan senjata.

Pusat beli belah Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur bakal menjadi venue program PLATFORM MG dengan tajuk “Suara Malaysia Untuk Palestin”. Foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2023.

Istimewanya PLATFORM MG kali ini akan mengetengahkan Ketua Pengawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Nadir Al-Nuri yang kini berada di Malaysia memperjuangkan hak penduduk Palestin dengan caranya sendiri. Nadir terpaksa berjarak jauh dengan isteri dan anak-anaknya di Gaza yang berhadapan dengan situasi hidup atau mati berikutan serangan tentera Israel yang sukar diramal bila dan di mana.

Turut tampil sebagai panel ialah penerima Anugerah Perdana Mulidur Rasul 2022 Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir; Penasihat Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah; dan aktivis kemanusiaan Tai Zee Kin.

“Suara Malaysia Untuk Palestin” yang akan berlangsung pada jam 8.30 malam dikendalikan oleh Haslina AR Kamarudin dan dijayakan bersama rakan strategik MalaysiaGazette iaitu Datumcorp International Sdn Bhd.

Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama mempamerkan solidariti terhadap Palestin di Datum Jelatek Shopping Centre. Anda juga berpeluang mengemukakan pertanyaan kepada barisan panel dan juga berkongsi pandangan.

PLATFORM MG ini juga akan bersiaran secara langsung di semua media sosial MalaysiaGazette. – MalaysiaGazette