Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan November Tahun 2023 di Dewan De’ Seri Endon,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,06 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia sudah menghubungi beberapa negara Islam berhubung isu yang menghimpit masyarakat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu pertemuan akan diadakan antara pemimpin-pemimpin negara Islam dalam masa terdekat bagi membincangkan isu Palestin.

“Kita (Malaysia) telah hubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turkiye malah Iran juga untuk mengadakan perbincangan dikalangan kepala-kepala negara.

“Keputusan sekarang ini yang bincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman dan presiden Turki dalam tempoh sehari, dua untuk  mempertemukan pemimpin Islam,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November tahun 2023, di Dewan Seri Endon, Puspanita, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Anwar, itu antara usaha yang dilakukan selepas melihat perkembangan konflik di Palestin kerana belum ada tanda-tanda Israel mahu menghentikan serangannya terhadap Gaza.

Tambah beliau, Malaysia sebelum ini mengusulkan supaya perbincangan turut disertai pemimpin bukan Islam seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China yang mempunyai pendekatan yang lebih lunak serta mempertahan hak kemanusiaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, belum ada kata putus untuk membawa perbincangan dengan negara bukan Islam.

“Positifnya, belum pernah isu Gaza, Palestin dibahas secara terbuka di dunia barat seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, hubungan baik dengan Mesir memudahkan bantuan kemanusiaan cepat dihantar ke Palestin dan menegaskan hubungan dua hala antara negara luar perlu ditingkatkan.

“Saya minta keutamaan bantuan kemanusiaan dari Malaysia. Dia pegang pada janji Malaysia antara paling cepat diberi layanan dan dapat seberang sempadan,” katanya.

Jumaat lalu, Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan pertamanya untuk rakyat Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas.

Satu lagi misi bantuan yang akan membawa baki 30 tan lagi barangan keperluan akan digerakkan Jumaat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast