P. Ramasamy.-

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy kini dalam proses menyaman pendakwah bebas, Dr Zakir Naik selepas ucapannya syahrahan di Sokoto, Nigeria baru-baru ini.

Ramasamy mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Zakir selepas beliau menggelarnya sebagai ‘musuh terbesar Islam’.

Menurut peguam mewakili Ramasamy, Shamsher Singh Thind, anak guamnya sudah memberi beliau arahan untuk menghantar ‘letter of demand’ (LOD) atau surat tuntutan yang perlu dijawab Zakir Naik.

“Tuduhan itu tidak berasas dan tidak benar sama sekali terhadap anak guam saya.

“Klip video ceramah syahrahan agama yang berdurasi 8.13 minit itu dimuat naik pada 4 November sekitar jam jam 1.25 tengah hari di laman Facebook Zakir Naik dengan kapsyen ‘Dr Zakir Naik Derma AS$320,000 untuk Palestin’

“Ianya juga sudah dilihat lebih 171,000 serta mendapat perkongsian lebih 7,000, pengguna Facebook di seluruh dunia, menarik kira-kira 30,000 reaksi dan kira-kira 2,000 komen. Dalam itu beliau akan menyebut anak guam sebagai musuh terbesar Islam dan menceritakan insiden sehingga beliau saman dan menang saman itu,” katanya.

Dalam video itu, Zakir merujuk kepada beberapa saman undang-undang yang difailkannya terhadap ahli politik Malaysia namun kebanyakannya sudah selesai luar mahkamah.

“Tetapi musuh terbesar Islam yang saya panggil ini, saya tidak memaafkannya. Saya kata kita biarkan kes mahkamah diteruskan, ianya telah berlangsung selama dua tahun dan pagi ini keputusannya.

“Hakim telah perintahkan Ramasamy membayar denda sebanyak RM1.52 juta kepada saya sebagai pampasan dan ganti rugi,” ujarnya.

MalaysiaGazette difahamkan, Ramasamy sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum menghantar surat tuntutan kepada Zakir Naik di Putrajaya.

Minggu lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan ganti rugi demikian selepas mendapati Dr Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.

Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Zakir Naik dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu terbabit.

Hayatul Akmal ketika membaca keputusaanya berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Zakir Naik.

Setakat ini juga difahamkan Ramasamy yang memohon sumbangan awam untuk membayar pampasan sudah berjaya mengumpulkan lebih RM900,000 setakat jam 11 pagi tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast