Dr. Mohd Zahari Ismail

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) komited untuk meningkatkan peratus graduan memperoleh gaji premium, selaras dengan saranan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, bagi memastikan sasaran dapat dicapai, pelbagai usaha telah dilaksana antaranya menyediakan kurikulum berpacukan industri, merancakkan jalinan kolaborasi industri berimpak tinggi, kerjasama merentas kementerian juga agensi serta pemantapan platform yang berupaya memadankan keperluan industri dan bidang graduan.

Tambah beliau, POLYCC yang kini berdiri dengan kekuatan 36 buah Politeknik dan 105 buah Kolej Komuniti dengan meliputi seramai 10,000 pensyarah dan 100,000 pelajar di seluruh negara juga merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara ini iaitu sebanyak 40 peratus di pelbagai sektor.

“Usaha ini adalah selari dengan komitmen melaksanakan Teras Strategik utama JPPKK iaitu melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti bagi sebuah negara dalam acuan Malaysia Madani yang menepati keperluan industri di peringkat nasional dan global,” katanya ketika berucap pada Sidang 2 Majlis Konvokesyen Ke-15 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Majlis konvokesyen ini meraikan seramai 2,081 graduan terdiri daripada lulusan diploma dan sijil daripada pelbagai bidang yang menamatkan pengajian bagi tahun 2021, 2022 dan 2023 di samping penyampaian empat anugerah utama pada majlis tersebut.

Beliau berkata, akses ke TVET telah diperluas dengan memperkenalkan program baharu iaitu Asasi TVET sebagai laluan ke universiti teknikal di Malaysia di mana PTSS yang juga merupakan antara lima politeknik yang turut menawarkan program sama pada ketika ini telah menerima seramai 86 pelajar yang mengikuti program tersebut.

“POLYCC juga telah memperluaskan akses kepada golongan komuniti rentan dengan penawaran Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti Program Tahfiz TVET,” ujarnya lagi.

Menyentuh kebolehpasaran graduan di Politeknik dan Kolej Komuniti pada ketika ini, beliau berkata, jumlah itu melibatkan 95.32 peratus graduan seluruh
Politeknik Malaysia pada tahun 2022 dan 96.99 peratus di Kolej Komuniti.

“Hasilnya, POLYCC berjaya melepasi kadar kebolehpasaran graduan 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut. Ini menunjukkan pencapaian bagi permintaan
pasaran kerja terhadap graduan adalah tinggi dan berterusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette