KUALA LUMPUR – Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) akan menarik semula permohonan memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung syarat lesen operasinya yang melarang pengimportan dan pemprosesan lantanida selepas 1 Januari 2024 di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini selepas kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) telah memperbaharui lesen operasi syarikat tersebut sehingga Mac 2026 bagi membolehkan syarikat itu import dan proses nadir bumi untuk tempoh dua tahun akan datang.

Menurut peguam yang mewakili Lynas, Tan Sri Cecil Abraham, sepatutnya permohonan ditarik balik hari ini namun kedua-dua pihak belum mencapai persetujuan terma perintah lagi.

Kata Cecil Abraham di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pihaknya sudah menyediakan draf perintah ianya masih lagi belum dipersetujui oleh peringkat Menteri MOSTI, Chang Li Kang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam pada itu, menurut peguam Persekutuan, Sallehuddin Md Ali, kerajaan hanya bersetuju dengan satu syarat iaitu tarik balik permohonan tanpa kos.

Hakim kemudian menetapkan 14 November ini bagi semua pihak capai persetujuan dalam kes ini.

Pada Julai lalu, Lynas Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebagai responden.

Lynas mendakwa tindakan itu difailkan untuk membatalkan syarat sekatan pengimportan dan pemprosesan lantanida pekat selepas 1 Jan tahun depan.

Pada 9 Mei lepas Lih Kang berkata kerajaan tidak menutup operasi Lynas, tetapi syarikat itu tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti ‘cracking and leaching’ (C&L) di negara ini selepas 31 Disember.

Beliau berkata keputusan untuk melanjutkan tempoh kilang menjalankan aktiviti C&L selama enam bulan lagi adalah untuk mengelak menjejaskan rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga mengumumkan bahawa rayuan Lynas terhadap pengguguran empat syarat pelesenan yang ditetapkan oleh AELB telah ditolak selepas perbicaraan diadakan pada 28 April bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan itu. -MalaysiaGazette