KUALA LUMPUR – Penyelidik dan pereka cipta Malaysia berjaya membawa pulang pelbagai anugerah dan pingat menerusi penyertaan dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2023) yang diadakan di Convention & Exhibition Center (CoEX), Seoul, Korea.
Pasukan Malaysia berjaya membawa pulang satu utama, tujuh pingat emas, 10 pingat perak dan lapan pingat gangsa.
Hadiah utama dimenangi oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk inovasi Asphalt FWB, kata Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Dr. Muhd Noor Muhd Yunus.
“Dengan pengalaman sebegini, sudah pasti pengalaman yang diperoleh akan menjadi pemangkin dan aspirasi ke arah mewujudkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertandingan dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA) itu berlangsung daripada 1 hingga 4 November lalu.
SIFF merupakan pameran dan pertandingan reka cipta tahunan yang diiktiraf ketiga terbesar di dunia dan pihak penganjur berjaya menghimpunkan sebanyak 484 produk dan inovasi daripada 26 negara pada tahun ini.
Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) merupakan organisasi eksklusif yang dilantik oleh pihak KIPA untuk menguruskan dan membawa penyertaan dari Malaysia ke SIIF.
Bersempena dengan SIIF pada tahun ini, MARS mengambil inisiatif melancarkan SMARS iaitu keahlian bagi kategori pelajar.
Ini selari dengan hasrat untuk merancakkan lagi agenda STEM dan memastikan ekosistem yang baik dan berterusan dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berinovatif dan kreatif. – MalaysiaGazette