KUALA LUMPUR – Isu Palestin bukan isu agama dan politik tetapi isu kemanusiaan yang berkait rapat dengan hak asasi manusia.
Fokus isu itu perlu pada penyelesaian yang adil dan kemanusiaan, kata aktivis hak asasi, Tai Zee Kin.
Menurutnya, ada keperluan untuk melibatkan masyarakat dunia yang bukan Islam dalam usaha untuk mempertahankan kah asasi wanita, kanak-kanak dan seluruh warga Gaza.
“Kena cari satu cara untuk menyeru, menghantar memorandum atau buat rally ke Kedutaan China atau Rusia dan bukan ke Kedutaan Amerika Syarikat.
“Apa yang belum berlaku ialah buat rally dekat kedutaan lain yang belum lagi menyatakan pendirian yang jelas untuk menyokong Gaza supaya mereka membuat sedemikian. Itulah kerajaan perlu buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Suara Malaysia Untuk Palestin anjuran MalaysiaGazette yang berlangsung di Datum Jelatek Shopping Centre di sini malam tadi.
Beliau berpendapat kerajaan Malaysia juga seharusnya mendesak negara-negara lain yang belum menjelaskan kedudukan mereka secara jelas dalam isu Israel-Palestin.
Tindakan itu diharapkan akan menggalakkan negara-negara tersebut untuk bersuara dan memberi tekanan yang lebih besar kepada Israel untuk mengakhiri konflik di Gaza.
Ahli panel tersebut mengingatkan China semasa Mesyuarat Keselamatan PBB sudah mula mengutuk negara-negara yang menyokong Israel.
Tai Zee Kin juga menjelaskan, usaha memboikot produk Israel mungkin tidak mencapai matlamat kerana ia mungkin hanya mendorong kerajaan Israel untuk meningkatkan pengeluaran produk berkaitan teknologi yang tidak dapat dielak oleh masyarakat antarabangsa. – MalaysiaGazette