Ng Jiun Loong dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tuala dan barangan lain milik sebuah hotel empat bintang bernilai RM585, bulan lalu.

MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barangan milik sebuah hotel empat bintang bernilai RM585 bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Jiun Loong, 30, yang membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat telah melakukan kecurian dalam bangunan iaitu kotak amenities, tuala mandi, bakul buluh, bantal, bantal sofa beserta sarung dan gelas kaca keseluruhannya bernilai kira-kira RM585.

Kesalahan itu dilakukan di bilik 2106 Hotel The Pines, Jalan Tun Sri Lanang, Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari 23 Oktober lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja selain menghidap penyakit auto imun kronik yang memerlukan rawatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 3 November lalu dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast