MELAKA – Masih ramai usahawan wanita di negeri masih belum menguasai kemahiran pemasaran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata, kegagalan menerima norma baharu dalam perniagaan itu menyebabkan mereka berada di takuk lama dan tidak berkembang.
“Jumlah kumpulan ini cukup ramai termasuklah dianggarkan 40 atau 50 peratus daripada lebih 5,000 usahawan yang tidak mempunyai kedai dan takut untuk ke depan menerima era digitalisasi ini.
“Sebab itu, selepas program tadi kita putuskan untuk adakan kursus pemerkasaan digital secara bersiri dan percuma selepas ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Melaka berkata demikian pada sidang media selepas Program Sesi Meja Bulat Menuju Kongres Ekonomi Bumiputera bertemakan Digital Melaka Perintis Inspirasi Wanita di Grand Swissbell Hotel di sini hari.
Hadir sama Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Melaka Datuk Haryaty Hamdzah dan 50 usahawan wanita negeri yang saling berkongsi idea dan permasalahan dalam perniagaan mereka.
Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberikan harga sewaan yang murah kepada usahawan wanita di bangunan-bangunan kerajaan yang masih kosong.
“Saya lihat kaedah perniagaan cara konvensional seperti di rumah dan sebagainya akan menjadi faktor utama mereka tidak berani untuk berubah memajukan perniagaan.
“Seorang usahawan kalau nak berjaya kena ada lambang perniagaan untuk mengembangkan lagi produk mereka dan inilah risiko yang perlu disahut untuk kejayaan di peringkat seterusnya,” katanya.
Menurutnya, berbanding tanpa mempunyai aset kedai, peniaga berkenaan akan terus kekal berada di takuk sama sehingga akhirnya tenggelam di sebalik transformasi digital.
“Kalau tiada komitmen seperti perlu bayar sewaan kedai, mereka akan selesa di tahap sama dan tidak akan berusaha lebih.
“Sasaran kita adalah untuk menubuhkan konsortium usahawan digital wanita di peringkat negeri Melaka dan saya lihat walaupun perjalanannya sukar namun ia tidak mustahil untuk dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette