Lebuh Raya
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LM) menjangkakan berlaku peningkatan trafik di lebuh-lebuh raya utama sehingga 2.3 juta sehari.

Ia berikutan pengumuman kerajaan melaksanakan inisiatif tol percuma bermula jam 12.01 pagi hari ini hingga jam 11.59, pada 12 November 2023.

Lebuh-lebuh raya itu ialah Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2.

“Dijangka sebanyak 2 juta kenderaan sehari akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari puncak perayaan Deepavali.

“Masing-masing sebanyak 173,000 dan 50,000 kenderaan akan meneggunakan Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Fasa 2 sepanjang tempoh itu,” kata LLM.

Untuk memastikan pergerakan kenderaan terkawal, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna selamat dan lancar sepanjang tempoh tersebut.

Antara langkah yang diambil ialah menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebih raya bermula semalam hingga 14 November.

Selain itu, memastikan pengopersian lebuh raya dalam keadaan terbaik dan semua kemudahan berfungsi sepanjang tempoh berkenaan terutama di kawasan rrehat dan rawat.

Syarikat konsesi perlu memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan menambah lorong tol sementara di beberapa plaza yang mempunyai trafik tinggi.

LLM juga menasihatkan pengguna merancang perjalanan masing-masing berdasarkan Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS Berhad dan Anih Berhad.

Pengguna juga diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan pastikan baki kad Touch ‘n Go atau sumber bayaran lain mencukupi. – MalaysiaGazette