komputer riba MRSM
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tidak pernah ada polisi bahawa hanya pelajar miskin sahaja yang boleh memasuki sekolah tersebut.

Sebaliknya, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, cuma keutamaan MRSM diberikan lebih kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah.

Jelas beliau, polisi MARA menetapkan kuota 60% adalah anak-anak pelajar MRSM adalah dari kalangan B40 dan selebihnya mereka yang layak (lulus Ujian Kemasukan Ke MRSM-UKKM) dalam kalangan M40 dan T20.

Katanya, MRSM dari awal penubuhan tidak pernah menutup peluang anak-anak golongan kenamaan yang layak untuk masuk ke MRSM, bahkan anak Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden ANSARA.

“Kepelbagaian latar-belakang pelajar-pelajar dalam MRSM mampu memupuk nilai-nilai positif dalam pergaulan untuk saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan mengikis rasa rendah diri mahupun besar diri dikalangan pelajar.

“Ini juga persiapan untuk pelajar hidup dalam dunia realiti yang hakikatnya terdiri daripada masyarakat pelbagai status ekonomi,” katanya yang menjawab komen-komen pelbagai pihak yang mahu MRSM mesti kembali kepada tujuan asal membantu anak-anak B40, bukan M40 dan T20.

Malah, ada pihak yang komen sejak bila ada anak-anak VIP, T20 masuk MRSM, ini mesti guna kabel!

Asyraf berkata, sejak penubuhan institusi pendidikan itu, keutamaan MRSM tetap diberikan kepada anak daripada golongan berpendapatan rendah.

“Lazimnya ibu bapa dari kalangan M40 dan T20 yang banyak membantu Persatuan Muafakat (PIBG) dalam pelbagai aktiviti dan pendanaan tambahan yang diperlukan untuk program pembangunan pelajar. Cuba bayangkan jika semuanya daripada B40, siapakah yang boleh membantu Persatuan Muafakat dan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM?

“M40 menurut tafsiran kerajaan adalah mereka yang berpendapatan isi-rumah (suami isteri) antara RM5,000-RM10,000. Justeru, tidak semestinya mereka yang berpendapatan RM5,000 dengan anak lebih daripada 3 orang yang menetap di bandar besar itu semuanya senang. Justeru tidak adil secara mutlak menafikan mereka,” tambah beliau lagi.

Menurut Asyraf kepelbagaian latar-belakang keluarga MRSM inilah yang telah berjaya meningkatkan kecemerlangannya selama ini dengan pelbagai aktiviti dijalankan dengan prinsip saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi. – MalaysiaGazette