KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi kritikan terhadap budaya orang Melayu yang mudah untuk berasa berpuashati.
Menurut Dr. Mahathir, budaya tersebut menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan terutama dalam dunia perniagaan walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai pendekatan seperti Dasar Ekonomi Baru dan Pelan Pembangunan Nasional.
“Model (ekonomi) yang diperkenalkan sudah betul tetapi budaya orang Melayu sukar ditukar. Nak diserapkan nilai-nilai hidup yang berlainan memang pun mana-mana bangsa bila membangunkan budaya, nak tukar budaya kepada lebih baik amat sukar.
“Sebab itu walaupun kita perkenalkan pelbagai cara untuk memajukan orang Melayu, tetapi sambutan daripada mereka terpengaruh dengan budaya mereka.
“Mereka berpendapat apa perlunya kita nak bersusah payah takat ini cukuplah. Ada kes seorang jual mi laku sangat. Bila ada cadangan dia masuk ke kedai besar. Dia kata cukuplah takat ini, boleh buat kerja haji dah. Dia tak boleh maju,” kata Dr. Mahathir.
Beliau berkata demikian dalam program Keluar Sekejap yang dikendalikan oleh Khairy Jamaludin dan Shahril Hamdan yang bertanya mengenai buku ‘Dilema Melayu’.
Isu yang dibincangkan dalam buku tersebut masih lagi releven hingga kini walaupun bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengambil langkah memperhebatkan ekonomi Melayu berdasarkan Dilema Melayu.
“Bila kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru, kita berpendapat dalam masa 20 tahun matlamat akan tercapai. Namun bila tamat kita dapati kita tidak ke mana-mana masih ditakuk lama.
“Jadi kalau kita nak hapuskan DEB kita perlu ganti dengan dasar lebih liberal tetapi masih bertujuan majukan orang Melayu, kita buka.
“Kita dapati kebolehan orang Melayu tidak begitu mampu untuk bersaing dengan kaum lain. Bila Pelan Pembangunan Nasional diperkenal dan peluang dibuka sekali lagi kita lihat orang Melayu lagi tinggal kebelakang,” katanya.
Beliau berkata, ketika pentadbirannya beliau memberi peluang kepada individu yang berkebolehan dan ini termasuk kepada bukan Melayu yang dilihat boleh berjaya.
Dr. Mahathir bagaimanapun berkata, dasar yang dilakukan terutama dalam bidang pendidikan berjaya melahirkan golongan profesional Melayu yang terlibat dalam pelbagai bidang.-MalaysiaGazette