Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui menggunakan prinsip ‘the enemy of my enemy is my friend’ untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Bagi tujuan itu Dr. Mahahir berkata, beliau berkawan dan mempergunakan DAP kerana parti tersebut turut menjadikan Najib sebagai musuh.

“Kita tentukan matlamat. Nak capai sesuatu matlamat, bila kita berjuang the enemy of your enemy is your friend.

“Kita nak guna DAP umpamanya, untuk mendapatkan  majoriti. Kalau saya tak guna DAP kita tak akan dapat majoriti dan Najib terus jadi perdana menteri.

“Antara Najib dan DAP yang mana perlu kita singkir dan lawan? Sebab itu saya guna DAP. Saya juga sedar DAP nak guna saya pasal DAP juga mempunyai matlamat sama. Jadi kita guna itu,” kata Dr. Mahathir dalam program Keluar Sekejap.

Bekas Perdana Menteri itu menjawab kritikan setengah-setengah pihak bahawa beliau sanggup menjalinkan kerjasama dengan DAP yang sebelum ini menjadi musuh politik hanya untuk menjatuhkan Najib.

Malah Mahathir juga sanggup bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga musuh politiknya sehingga sanggup menyerahkan jawatan perdana menteri hanya untuk menjatuhkan Najib.

Bekas Perdana Menteri itu juga kini berkawan dengan Pas yang pernah menjadi sasaran beliau dalam politik demi untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.

Pengendali Keluar Sekejap Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin berkata, prinsip yang digunapakai oleh Mahathir sama dengan ‘matlamat menghalalkan cara’ yang dipelopori Niccolo Machiavelli.

“Pada satu peringkat anda kena berpegang pada pendapat itu. Memang pun kalau kita hendak mencapai sesuatu, kalau kita terikat dengan ikatan yang lama kita tak akan berjaya.

“Sebab itu nak jatuhkan UMNO parti saya dahulu kenapa? Sebab UMNO sudah jauh lari daripada perjuangan apabila dipimpin Najib. Untuk itu saya keluar daripada UMNO,” kata Dr. Mahathir.

Sementara itu Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan beliau semenangnya mahu menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar kerana telah berjanji untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun menurut beliau, tindakan itu tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya telah dijatuhkan.-MalaysiaGazette