GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel sebuah syarikat telekomunikasi di kawasan Air Itam di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, kehilangan kabel itu dilaporkan oleh pekerja syarikat telekomunikasi tersebut pukul 8.30 pagi namun video kejadian suspek melarikan diri tular di media sosial hari ini.

“Pekerja syarikat itu dalam laporannya mendapati ketika menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat tujuh batang kabel telah hilang manakala empat batang kabel yang dipotong ditinggalkan di atas jalan dipercayai tidak sempat dicuri, kesemuanya membabitkan kerugian RM15,000.

“Siasatan kita mendapati kumpulan itu melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna putih dan Honda Accord warna hitam kuning selepas menyedari kehadiran pekerja syarikat telekomunikasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tambah Saravanan, orang ramai dinasihatikan agar tidak menularkan rakaman video berkenaan kejadian bagi mengelak sebarang spekulasi.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh hubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Mohd Syazwan Md Sahimi di talian 04 2181 1831 bagi membantu siasatan.. – MalaysiaGazette