Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika lawatan tapak Projek Pembangunan Lembangan Sunga Bersepadu Sungai Semantan di Temerloh hari ini

TEMERLOH – Barisan Nasional (BN) bersedia mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkaitan proses berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman jika berlaku banjir.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia dan menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh SPR bagi memudahkan proses demokrasi itu berjalan seperti dijadualkan.

Apa yang lebih utama, katanya, kerja-kerja menyelamat, membantu dan melindungi mangsa banjir menjadi keutamaan sekiranya berlaku pilihan raya pada musim tengkujuh hujung tahun di Terengganu.

”Kita akan berunding dengan SPR untuk ikut SOP yang baharu berkaitan banjir. Pada hemat saya, apa yang penting hargai dan santuni mangsa banjir.

”Bagaimanapun takkan mereka tak tolong orang yang tolong mereka. Undi sangat penting, kita akan ikuti SOP yang ditetapkan oleh SPR,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Ahmad Zahid berkata demikan ketika diminta reaksi persediaan BN menghadapi proses berkempen dan mengundi jika musim banjir berlaku di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Semantan di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN bersedia berhadapan dengan siapa sahaja saingan pada PRK Parlimen Kemaman kali ini.

”Kita sedia akan menghadapi siapa sahaja calon Kemaman, bekas ahli kita yang dikhianati atau parti asal yang telah dibatalkan kemenangannya,” katanya.

Ia susulan Pas dijangka akan mengumumkan calon mewakili Perikatan Nasional pada PRK Parlimen Kemaman ini pada Khamis ini.

Semalam  BN telah mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya.

SPR menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, undi awal pada 28 November dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.

PRK itu diadakan selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lepas berhubung kes rasuah.

Pada PRU15 lalu, Che Alias Hamid dari Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Che Alias berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast